Isnin, 20 Ogos 2012

Kenapa Aku Malas Solat?

"Aku bukan orang jahat. Aku tak ada merompak atau bunuh orang. Aku tak ada sebar fitnah buruk tentang orang lain. Aku tak ada minum arak. Aku macam muslim biasa. Berpakaian mengikut kebanyakan orang."
"Tetapi kenapa tiba waktu solat, aku malas sangat nak dirikan solat? Malas sangat. Kadang-kadang tu ada la juga satu waktu dalam sehari, bila saat iman naik sikit kan... Sikit je la. Itu pun acuh tak acuh, macam tak solat pun ye juga rasanya. Sebab tak rasa apa-apa. Lepas tu iman turun balik. Ada terus tak buat juga solat tu. Aku rasa berdosa tapi aku tak mampu berubah. Kenapa dengan aku ni sebenarnya?"
"Aku bukan orang jahat. Aku jenis manusia yang suka sangat bantu orang lain. Kadang-kadang hati aku tersentuh lihat pengemis tepi jalan. Aku tak sanggup tengok jadi aku bersedekah. Aku pun macam muslimah lain. Berpakaian macam perempuan lain kebanyakan tetapi mungkin ada satu, dua, tiga yang tak sempurna. Aku tahu tapi mungkin itu boleh diubah lagi. Tetapi yang paling aku risau, aku susah sangat nak ubah diri yang malas solat. Aku tahu berdosa tapi senang sahaja aku membiarkan waktu solat berlalu tanpa mendirikannya. Kenapa aku jadi macam ni? I...I just don't get it...Please, help me..."
***
Apa hikmahnya solat dikatakan sebagai tiang agama? Kenapa solat sangat penting dan menjadi tiang agama? Sebagai seorang muslim, pastinya anda telah menghafal lumat Rukun Islam yang lima bukan? Ya, kerana solat merangkumi kelima-lima Rukun Islam tersebut.
Bermula dari Rukun Islam yang pertama iaitu mengucap dua kalimah syahadah. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Bacaan syahadatain (dua kalimah syahadah) dibaca dalam tasyahud akhir yang merupakan salah satu rukun solat. Yang mana jika tiada dilakukan, maka solat tersebut tidak sah. Syahadatain ada dalam solat.
Rukun Islam yang kedua iaitu mendirikan solat lima waktu sehari semalam. Solat itu sendiri ada dalam perintah solat yang diwajibkan sepertimana yang terkandung di dalam kitab panduan, Al-Quran. Setiapnya ada waktu yang telah ditetapkan.
Rukun Islam yang ketiga iaitu menunaikan zakat. Zakat membawa makna pembersihan dan penyucian. Pembersihan pada harta yang juga ada padanya hak orang lain dan penyucian terhadap akhlak terutama dari sifat bakhil selain menanam sifat bertolak ansur serta syukur. Hikmah zakat ada dalam solat. Suci daripada hadas kecil dan besar merupakan salah satu syarat sah solat selain memastikan badan, pakaian dan tempat solat suci daripada najis. Solat juga berperanan untuk menyucikan jiwa tatkala sujud menyembah Allah Yang Esa.
Rukun Islam yang keempat iaitu berpuasa dalam bulan Ramadan. Puasa membawa maksud menahan diri dari lapar dan dahaga. Makan dan minum termasuk antara perkara yang membatalkan solat hatta menelan air liur yang masih lagi terasa manisnya. Puasa mengajar supaya menahan diri daripada percakapan yang buruk atau sia-sia. Berkata-kata dengan sengaja selain daripada Al-Quran, zikir atau doa walaupun satu huruf membatalkan solat. Hikmah puasa ada dalam solat.
Dan yang terakhir, ialah mengerjakan haji. Tawaf ditunaikan dengan mengelilingi kaabah yang merupakan kiblat umat Islam sebanyak tujuh kali. Menghadap kiblat antara syarat sah solat. Demikianlah Hikmah haji juga ada dalam solat.
Subhanallah!
***

"Aku tak solat tapi aku masih berbuat baik terhadap orang lain?"
Solat amalan pertama yang akan dihisab Allah.
Abu Hurairah berkata : "Aku mendengar Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya yang pertama kali dihisab pada hari kiamat dari amalan manusia adalah solatnya, jika amalan solatnya baik maka dia akan bahagia dan beruntung, Jika amalan solatnya buruk maka dia termasuk orang-orang yang rugi. Jika terdapat kekurangan sedikit pada amalan solat fardhunya, maka Allah berfirman: " Lihatlah (hai para malaikat) apakah hambaku mengerjakan solat sunat untuk menyempurnakan solat fardhunya?' Kemudian jika hambaku menyempurnakan solat sunat, maka solat sunat itu untuk menyempurnakan solat fardu yang kurang, kemudian seluruh amalannya diperlakukan seperti itu" 
(Sahih Tirmidzi, Ibnu Majah no 193, 1425,1426)
Andai anda melihat manusia yang berbuat baik terhadap kucing jiran tetapi apabila pulang ke rumah, kucing sendiri disepak dan disiksa. Pelik tak? Begitulah kelihatannya. Berbuat baik kepada manusia tetapi hubungan diri sendiri dengan Allah melalui solat sendiri tidak dijaga. Bagaimana begitu?
Anda baik dengan manusia sekarang. Kenapa tidak dilengkapkan sahaja kebaikan itu dengan solat yang sempurna? Solat itu menyucikan jiwa dan hati. Terutama menyemai rasa ikhlas dalam melakukan amalan. Bimbang andai kebaikan selama ini yang dilakukan mungkin hanya kepuraan di hadapan manusia sedangkan solat ditinggal di belakang manusia.
Bimbang. Kerana solat yang ditinggal, amalan kebaikan yang lain tersangkut waktu hari perhitungan.
Wahai hamba... Solatlah!
"Sungguh, solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman" " 
(Surah An-Nisa' ayat 103)
***
"Kenapa aku jadi macam ni?" Kita tahu kita salah, tapi sukar pula untuk berubah. Rasa berat untuk nak mula.. Kenapa ya?
Satu. Sebab tak sedar diri itu hamba Allah.
Dua. Sebab tak ingat mati.
Tiga. Sebab seronok hidup dekat dunia.
Empat. Sebab tak fikir waktu sakaratul maut nanti.
Lima. Sebab lalai dengan kemewahan.
Enam. Sebab kurang ilmu agama.
Tujuh. Sebab terlalu mengikut hawa nafsu.
Lapan. Sebab malas mujahadah.
Sembilan. Sebab solat dianggap sekadar ritual yang tidak dihayati.
Sepuluh. Anda bagilah sebab sendiri. Diri sendiri lebih kenal diri sendiri. Tanya diri sendiri kenapa aku jadi begini.
***
"Baik. Faham. Tapi macam mana kalau perangai ni kembali semula?"
Sebagai sesama muslim, kita sentiasa perlu diingatkan kembali. Ingat tujuan hidup. Buka surahAdz-Dzaariyat ayat 56. Allah berfirman yang bermaksud:-
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku"
Ingat lima perkara sebelum lima perkara. Apakah lima perkara tersebut? Mesti semua sudah maklum kan...
Tak salah nak dengar lagu 'You're Beautiful' Bruno Mars. Tak ada siapa nak marah. Kalau ada yang marah anda dengar lagu itu, saya boleh tolong marah dia balik. Tetapi ingatlah juga pesanan Rasulullah yang diabadikan dalam lirik Demi Masa kumpulan Raihan.
"Ingat lima perkara sebelum lima perkara. Sihat sebelum sakit. Muda sebelum tua. Kaya sebelum miskin. Lapang sebelum sempit. Hidup sebelum mati" 
(Riwayat Hakim dan al-Baihaqi )
Kalau kita boleh fikir masa hadapan. Mahu kahwin. Mahu kereta besar. Mahu rumah besar. Duit pun kalau boleh nak besar tak muat kilang proses duit palsu Saidina. Kenapa kita tidak boleh fikir yang ke hadapan lagi? Bukan tentang soal hidup di dunia sahaja. Tetapi juga soal hidup di akhirat sana.
Ingatkan diri supaya sentiasa bersyukur. Paling kurang ucaplah Alhamdulillah. Syukur kerana masih hidup. Bangun pagi sahaja, mata masih bisa dicelik. Udara masih bisa dihirup. Nafas masih lagi terhela. "Oh, hidup lagi aku ni rupanya. Alhamdulillah".
Syukur kerana udara dan anggota yang digunakan hari-hari ini langsung tidak diminta bayaran daripada Allah. Kalau tidak, mungkin kita tidak bisa lagi membeli kereta baru, make-up baru, handbag baru, motosikal baru, laptop baru, baju baru, handphone baru dan semua yang namanya baru di belakang. Allah langsung tidak berkira. Namun kita mahu solat satu waktu yang hanya memakan masa selama 10 minit pun kedekut. Hamba apakah itu?
Syukur kerana pancaindera cukup lengkap sempurna. Muka cantik. Mata menarik. Hidung masih berfungsi. Mulut masih bisa menelan. Tiada anggota yang cacat. Ada orang tempang tiada sebelah kaki pun masih rajin lagi menggagahkan diri berjalan kaki ke masjid. Malu kita.
Ingat mati sentiasa. Bukan fikiran itu hanya sepenuhnya pada dunia. Seronok di dunia. Tetapi tidak sedar sebenarnya keseronokan yang ada ini sementara cuma. Kebahagiaan hakiki adalah di akhirat sana. Ingat waktu dihisab nanti. Ingat waktu ditanya malaikat Munkar dan Nakir di dalam kubur. Apakah dapat diri menjawab kesemua soalan dengan iman dan amalan? Ada fikir semua itu?

Andaikan tiba-tiba sewaktu bangun pada esok pagi, saat mata dicelikkan yang kelihatan hanyalah kegelapan. Dilihat ke kanan dan ke kiri namun yang terbentang tetap hanyalah kegelapan. Allah hilangkan nikmat pandangan. Diri mula panik. Tidak bisa melihat alam lagi. Tidak bisa menatap wajah-wajah yang disayangi lagi. Mungkin waktu itu agaknya baru hati sedar. Mula meraba-raba kawasan sekeliling bimbang terlanggar hanya untuk ke tandas mengambil wuduk.
Andaikan otot anda yang digunakan untuk menulis, menaip dan bermain. Suatu ketika Allah menarik nikmat tersebut apabila hanya satu otot yang tidak berfungsi. Saraf mula terjejas. Tiada lagi bisa menggerakkan jemari seperti dulu. Tiada lagi bisa menaip assignment yang bertimbun. Apakah waktu itu mula mengagahkan jua jemari membasuh muka berwuduk untuk solat?
Andaikan tika selesai dari membeli-belah, tiba di tempat parking di mana kereta diparkir. Tiba-tiba sewaktu meletakkan barang ke dalam bonet kereta, datang seorang peragut yang cuba merentap beg tangan dan menetak tangan kita berkali-kali hingga darah keluar dengan banyaknya. Mungkin sewaktu itu ingatan mula berputar mengingati Allah untuk menunaikan solat.
Andaikan sewaktu memandu ke pejabat apabila menerima panggilan ada tender baru, tiba-tiba kereta kehilangan arah seketika dan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori yang laju merempuh. Pintu kereta remuk redam. Cermin kereta pecah seribu. Kaki tersepit. Didapati patah. Hampa dirasakan saat doktor mengatakan bahawa sebelah kaki terpaksa dipotong. Mungkin waktu terlantar dalam bilik pembedahan mula sedar untuk menunaikan solat.
Apakah ingin menunggu saat-saat keinsafan seperti yang disaksikan dalam typical local drama di televisyen itu baru kita mahu sibuk solat? Kalau jawapannya ya, silakan. Tunggulah.
Kalau tidak. Ya, bermula dari sekarang. Kerana kematian itu bukan umpama jarum jam yang bisa diputar ke masa sebelumnya. Anda pasti akan mati. Saya pasti akan mati. Kita pasti akan mati. Bersiaplah untuk satu perkara yang pasti. Tidak ada masa untuk berlengah lagi.
Wahai hamba... Solatlah!
"Dan perintahkanlah keluargamu melaksanakan solat dan sabar dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik di akhirat) adalah bagi orang yang bertakwa" 
(Surah Taha ayat 132)
***
"Em, ada nasihat terakhir?"
Tiap ketika Allah memberikan apa yang kita perlu, nikmat yang menggunung, dari sehari ke sehari. Allah memberi segalanya tanpa perlu diri meminta mahupun melutut merayu. Ada antara hamba yang berpaling, namun Dia tetap terus bersama curahan nikmat-Nya!
Kita punya masa untuk keluar bersama kawan-kawan. Kita punya masa untuk menonton filem komedi dan bergelak ketawa. Kita punya masa untuk melayari Facebook dan menghabiskan waktu berjam-jam lamanya di situ. Kita punya masa untuk yang lain namun apakah pantas apabila diri mengatakan tiada masa untuk solat yang hanya 5 minit cuma!
Sekarang diri mengatakan "aku malas solat". Dan lihatlah wahai hamba, Allah telah mengurniakan segala keperluan. Nikmat yang tidak akan mampu dikira kerana begitu banyak! Allah mengatakan dalam kitabNya untuk kita muhasabah.
"dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak mampu menghitungnya. Sungguh, Allah benar-benar Maha Pengampun, Maha Penyayang" 
(Surah An-Nahlu ayat 18)
Namun mungkin masih bisa dikira. Mata untuk melihat. Hidung untuk menghidu. Telinga untuk mendengar. Kaki untuk berjalan. Tangan untuk memegang. Tubuh badan yang sihat. Pakaian untuk dipakai. Kereta untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Rumah untuk berlindung dari panas dan hujan. Dan untuk segala apa yang telah Allah berikan, diri masih berani mengatakan "aku malas solat!"
Andai kamu masih menyedari dua kaki itu masih berpijak di atas bumi-Nya maka tolong. Tolong, tolong dan tolong. Tolong dirikan solat. Namun andai kamu percaya kamu bisa mencari 'bumi' yang lain untuk hidup, tidak mengapa.
Lakukanlah apa yang kamu suka. Tapi ingat, bukan di bumi yang kamu pijak!

- cr: http://syauqatulwardah-lavender.blogspot.com/

Merindui Ramadan


Duhai Ramadhan...
Kehadiranmu
Mengukir senyuman
Bersulam syahdu tawa
Mengiringi sayu hangatan air mata
Menghimpun panjat syukur buat yang Esa
Duhai Ramadan...
Kehadiranmu
bak Penantian sang kekasih pada arjunanya
Biarkan penantian ini umpama episod cinta
Episod cinta 10 malam terakhir
Menguntum nikmat Lailatul Qadar
Padanya turunnya Al-Quran
Ganjaran melebihi seribu bulan
Duhai Ramadan...
Biarlah kehadiranmu kali ini
Menjadi pertemuan istimewa antara kita berdua
Titian hari merobah paradigma iman jiwa
Melakar megah lembayung Taqwa
Peroleh rahmat beroleh bahagia
Ampunan dosa hitam nan kelam
Terlepas azab Jahannam menjulang
Duhai Ramadan...
Biarlah kehadiranmu kali ini
Melambai mesra syafaat bahagia
Melakar senyuman cinta ke syurga
menguntum kasih buat Allah yang Esa
Membawa lalu duka nan lara
Mengusir pergi tangis sengketa
Duhai Ramadan...
Andai pertemuan ini yang terakhir
Jadikanlah saat bersamamu disusuli
basahan zikrullah
beralun merdu lafaz al-kitab
beserta istiqomah tahajjud syukur
Jua tadahan doa pohon ampunan
Mengecap impian syurga idaman..

by: Nor Rafidah Binti Khairuddin
Artikel: Iluvislam.com

Ahad, 12 Ogos 2012

Ƹ̵̡Ӝ̵̨̄Ʒ¨¯`♥ Satu Soalan Buat HAWA, Satu Jawapan Dari ADAM ♥¨¯`Ƹ̵̡Ӝ̵̨̄Ʒ

•*""*•.¸❤❤¸.•*"*•.¸ ¸.•*" "*•.¸❤❤¸.•*" "*•.¸ ¸.•*" "*•.¸
Pandang kanan, awek shawl merah jambu ala-ala yuna. baju sendat. vogue.

Pusing kiri, awek shawl kelabu bak hana tajima. tengkuk terdedah. gorgeous.

Tengok depan, awek legging rambut rebonding paras pinggang. baju lengan pendek. stylo.

Toleh belakang, awek skinny dengan blouse labuh tutup punggung. tak bertudung. heels 4 inci. WOWWW.

****************************************************

Satu soalan buat hawa, memang itu ke yang kalian nak? berfesyen tanpa meletakkan agama di depan? fesyen didahulukan, agama dikemudiankan?

Satu soalan buat hawa, selesa ke dengan penampilan sebegitu? menjadi perhatian kaum lelaki yang sememangnya mata keranjang? segenap tubuh diratah mata manusia?

Satu soalan buat hawa, apa tujuan kalian berpakaian sedemikian? mahu tampak gah di kalangan teman-teman? sentiasa di atas? lepas tu apa? riak? takbur? bangga?

Satu soalan buat hawa, adakah dengan berbaju kurung bertudung litup kalian akan dianggap kuno? adakah dengan fesyen lilit-lilit shawl akan jadikan kalian seorang yang up-to-date?

Satu soalan buat hawa, adakah dengan berpakaian sopan akan menjejaskan kecantikan kalian? akan menjadikan kalian hodoh? nampak kecundang dalam dunia moden?

Satu soalan buat hawa, kalian berfesyen untuk kepuasan sendiri bukan? tapi pernahkah kalian sedar bahawa diri kalian takkan pernah puas?

Baca ni ;

Satu jawapan dari adam, seorang perempuan yang tertutup sempurna auratnya lebih bernilai di mata lelaki untuk dijadikan teman seumur hidup.

Satu jawapan dari adam, kecantikan seorang wanita yang menjaga auratnya dari dipandang lelaki yang bukan halal baginya adalah lebih mahal dari dunia dan segala isinya.

Satu jawapan dari adam, kecantikan si berbaju kurung yang bertudung takkan dapat ditandingi oleh yang lain. cantik, cun, ayu, dan sopan. apa lagi yang kalian nak?

Islam membenarkan fesyen tapi islam jugak melarang tabarruj. Allah tak suka mereka yang berlebih-lebihan...jadi bersederhanalah!~

"Sepantas mana pun kau lari untuk mengejar kepuasan dirimu, kau takkan pernah dapat mencapainya kerana kepuasanmu yang sebenar berada diantara kamu dengan penciptamu, ALLAH SWT..wallahua'lam..

~~>Duhai Muslimah,tutuplah auratmu..peliharalah maruahmu!!jagalah agamamu..Wanita dambaan syurga tidak akan sekali2 menjadikan dirinya "MURAH" dimata dunia kerana dia hanya ingin sentiasa tampak cantik di mata Allah azza wajalla..syariatnya dipelihara,kerana jannah itu pilihannya..renung2kan..=)
•*""*•.¸
❤❤¸.•*"*•.¸ ¸.•*" "*•.¸❤❤¸.•*" "*•.¸ ¸.•*" "*•.¸

Jumaat, 10 Ogos 2012

Jika Dahulu Ramadhan Aku Sia-siakan..

Marhaban Ya Ramadhan! 
Terasa indah pada hari ini mampuku berdiri, menghadiahkan seribu kali kesyukuran, di bulan Syaa'ban yang mulia. Ini bermakna aku semakin menghampiri Ramadhan Al Mubarak yang ku tunggu-tunggu demi cintaku pada yang Esa. Ya, masih tinggal cuma beberapa hari lagi sebelum Ramadhan tiba. Namun, tatkala teringat bahawa ajal datang umpama kilat memanah bumi, malah lebih laju dan tepat detiknya, aku menjadi sayu.
Bagaimana andainya Ramadhan kali ini tidak dapat ku temui? Mungkinkah nyawaku ditarik sebelum sempatnya Ramadhan kembali? Segala persoalan ku tahu tidak akan terjawab namun, aku kembali memohon kepada Dia, Allah S.W.T, panjangkanlah usia hambamu ini, dan berikanlah kesempatan memenuhi Ramadhan-Mu lagi. Kerana Ramadhan dahulu aku telah mengecewakan Mu, Ya Allah. Kerana Ramadhan dahulu aku telah banyak mensia-siakan Ramadhan dengan kealpaan dan kemungkaran.
Ramadhan, bulan penuh keberkatan. Mengapa ia dikatakan begini? Sudah tentu semua telah maklum bahawa Ramadhan merupakan satu-satunya bulan yang kita diuji dengan pelbagai corak ujian untuk mengukur kesabaran demi memperoleh seribu kebaikkan daripadanya. Masya-Allah!
Jika ada antara yang bukan Islam bertanyaku, 'Tidak lapar kah kamu semua berpuasa selama 30 hari? Kalau aku di tempat engkau, sudah tentu aku tidak dapat memenuhi tuntutan puasa tersebut'.
Maka aku selalu nyatakan pada mereka bahawa, 'aku berpuasa bukanlah bermakna aku sedang kebuluran. Sedangkan di setiap pelusuk dunia masih ramai yang tidak menemui makanan dan minuman. Adakalanya berhari-hari mereka kelaparan namun mereka tetap cuba untuk hidup sehingga sisa-sisa nafas yang terakhir. Aku berpuasa demi mengingati Allah dan ciptaan Allah yang ditakdirkan kekurangan serba-serbi dalam kehidupan, di malam hari aku beribadah memuji Allah kerana aku bersyukur, ditakdirkan hidup dalam golongan manusia yang sederhana. Masih mampu meraih nasi dan lauk pauk. Masih mampu meneguk air berwarna warni lengkap berais. Tapi mereka? Ada yang sekadar meneguk air lumpur. Ada yang menangis, meneguk air longkang. Mengapa tidak kita yang serba cukup ini masih tidak bersyukur?'
Aku teringat mengenai kisah sahabat Nabi yang dikasihi mengharungi bulan Ramadhan:
Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib, apabila masuk bulan Ramadhan, dan ketika malam telah melabuhkan tirainya, beliau mengadap mihrabnya (tempat ibadat) sambil memegang janggutnya lalu ia mengangis sambil berkata: Wahai dunia! Samada kamu menghadap kepada ku atau berpaling dariku, aku telah ceraikan kamu dengan talak tiga, dan tidak mungkin lagi aku kembali kepadamu. Sesungguhnya umur kamu pendek, urusun kamu (menipu daya manusia) sangat hina dan tipu daya sangat besar. Ohh! Alangkah sedikitnya bekalan (ku), sedangkan perjalanan sangat jauh dan jalan pula sukar!
Masya-Allah, Saidina Ali sahabat Baginda S.A.W yang dijamin syurga pun merasakan dirinya mempunyai bekalan amalan yang sedikit, inikan lagi kita yang nyata-nyata sering melakukan dosa besar dan kecil kepada Allah S.W.T? Sekali lagi hati ini bertukar sayu dan hiba. Aku mungkin bijak menyatakan kepada mereka tentang fadhilat berpuasa di bulan Ramadhan, tetapi aku sendiri masih banyak melakukan dosa yang sedar dan tidak di bulan Ramadhan dan bulan-bulan lain selain Ramadhan. Sedangkan aku tahu aku tidak semulia Saidina Ali. Ampunkanlah dosaku Ya Allah!
Allah menciptakan manusia dengan tujuan, iaitu untuk menguji samada kita baik atau sebaliknya.
Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:
"Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat)." [Al-Mulk : 2]
Setiap permulaan pasti ada pengakhiran bukan? Pengakhiran ujian itulah yang dinamakan Mati/Maut.
Firman Allah ta'ala yang bermaksud:
"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya." [Ali-Imran:185]
Ramadhan adalah bulan penuh dengan kebaikan, keberkatan dan rahmat Allah yang Allah sediakan untuk hamba-hamba-Nya. Ia ibarat seperti pasar-pasar perniagaan yang kesemua barang-barangnya yang di jual adalah yang terbaik dan dijamin kekal selama-lamanya. Inilah perniagaan yang sangat menguntungkan.
 Firman Allah ta'ala lagi mengenai kehidupan yang bermaksud:
"Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya)." [Al-Saf : 10-11]
**
Oleh kerana aku merupakan manusia yang sering terlalai dan membuat dosa, maka Ramadhan ini lah sebenarnya merupakan waktu untuk aku menghapuskan dosa-dosaku agar aku dikembalikan kepada-Nya tanpa noda-noda dosa.

Rabu, 25 Mei 2011

Berubah Untuk Menggapai Redho Allah.

Alhamdulillah atas nikmat-Mu ya Allah, kurniaan yang melimpah ini kadangkala membuatkan aku terlupa untuk mensyukuri nikmat-Mu.
Dalam kesibukan mengejar dunia ini, pernahkah kita terfikir untuk memperbaiki diri? Adakah cukup amalan kita?
Bagaimana dengan perhitungan di akhirat yang pasti terjadi? Bersediakah kita?
Mungkin kita biasa mendengar perkataan muhasabah, terutama apabila kita berada di akhir sesuatu program, kita diajak untuk bermuhasabah.
Namun, sejauh mana penghayatan kita terhadap maksud muhasabah tersebut? Muhasabah.
Berasal dari perkataan hisab, iaitu menghitung. Mengapa kita perlu menghitung amalan kita? Firman Allah dalam Surah Al-Hasyr (59:18):
18. Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan), bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan.
Jelas daripada ayat ini kita memang dituntut untuk menghitung amalan kita.
Andai dalam kehidupan harian kita sibuk merancang dan menghitung budget dan merancang untuk pelbagai perkara, mengapa pula kita terlupa untuk menghitung bekal amalan di akhirat kelak?
Dalam ayat seterusnya (59:19) Allah memberi peringatan untuk kita tidak melupakan perintah-perintahNya.
19. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik (derhaka).
Perkaitan antara kedua-dua ayat ini menunjukkan bahawa kita menghitung diri adalah dengan mengikuti perintah Allah.
Islam sebagai agama petunjuk kepada penganutnya.
Ia bukan hanya teori tapi praktikal untuk setiap urusan manusia. Yang membezakan seorang muslim dan mukmin adalah pada amalannya. Sepertimana Allah menekankan dalam ayat seterusnya (59:20):
20. Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat Segala Yang diingini).
Memang berbeza antara dua golongan ini. Ibarat langit dan bumi. Jurangnya sangat ketara antara penghuni syurga dan neraka. Salah satunya dalam rahmat dan satu lagi dalam kelaknatan.
Jadi timbanglah dengan neraca iman, ke mana lebihnya kita? Ke jalan redha atau kebencian Allah?
Jadi di sini saya ingin berkongsi beberapa cara untuk bermuhasabah, semoga dapat memberi manfaat.
01.Mengingati mati. Ini cara terbaik untuk bermuhasabah. Mengingatkan diri tentang kematian yang pasti terjadi membantu kita mengkoreksi diri. Secara tidak langsung menjadi pendorong untuk kita menambah amal kebaikan.
02.Mengingati kelemahan diri. Dengan kita menilai kelemahan diri kita secara tidak langsung membantu dalam memperbaiki kelemahan diri. Cara lain ialah dengan menukar kelemahan itu menjadi kekuatan. Sebagai contoh kita cuba kurangkan sifat suka berkata perkara-perkara lagha dengan berzikir, mungkin nampak jauh sangat perbezaannya, namun andai cuba diamalkan, InsyaAllah akan jadi kekuatan akhirnya.
03.Tidak membesarkan kekurangan orang lain. Janganlah dibesar-besarkan kekurangan orang lain kerana hakikatnya Allah menutup-nutup kekurangan kita. Andai kita menutup kelemahan orang lain, Allah akan melindungkan kelemahan kita.
04.Menjadikan kebaikan orang sebagai kayu ukur untuk kita. Dalam hal amalan kebaikan, amatlah wajar untuk kita meniru orang lain. Jadikan ia sebagai penanda aras untuk kita dan letakkan sasaran untuk menjadi yang lebih baik dari orang lain.
05.Menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan utama. Sangat jelas bahawa Nabi junjungan mulia contoh terbaik buat kita. Mulakan dengan mengamalkan perkara-perkara yang menjadi sunnah baginda.
06.Berdoa sebanyak-banyaknya agar Allah mudahkan kita untuk berubah dan memperbaiki diri. Allah yang memegang hati kita dan Dia jugalah mampu membuka hati kita untuk suka kepada kebaikan dan membenci kejahatan. Hidayah itu milik-Nya jua.
Sahabat-sahabatku, marilah kita sama-sama bergerak dan bertindak ke arah perubahan yang InsyaAllah mengundang redha Allah, biiznillah.
Doakan moga kita berjaya bermujahadah ke arah kebaikan dan kekal istiqamah dalam beramal..ameen. Wallahualam...

Ancaman Daripada Segenap Sudut


 Jika musuh kita menyerang daripada segenap sudut yang ada, adakah kita akan selamat dengan bertahan hanya pada satu sudut? "
" Jika mata kita selamat daripada melihat aurat belum tentu telinga kita selamat daripada mendengar orang mengumpat. "
" Jika tangan kita bebas daripada mencuri, belum tentu kaki kita terhindar daripada melangkah ke tempat maksiat."
" Jika mulut kita bersih daripada yang haram, belum tentu kemaluan kita terhindar daripada dosa dan rangsangan. "

Musuh itu pasti menyerang daripada segenap sudut dan melalui segala kemungkinan yang ada. Musuh itu berupakan nafsu yang ada di dalam dirimu atau godaan daripada luar.
Dalam dunia yang sedang kita jalani sekarang, serangan itu semakin menjadi-jadi. Semua perkara dan alat yang kita gunakan di dalam kehidupan seharian akan diaplikasikan oleh musuh-musuh kita untuk melemahkan dan menghancurkan kita.
Hanya dengan melayari internet, kita terus terdedah kepada serangan tersebut sekalipun kita tidak berniat untuk melakukan kemungkaran. Apabila memandu melalui jalan-jalan di kota, kita terus dapat melihat serangan itu terpapar besar di papan-papan iklan. Wanita-wanita mendedahkan bahagian tubuhnya yang merangsang pemikiran lelaki.
Hanya dengan berjalan di sebuah pasaraya untuk memberi barangan keperluan, kita akan terlihat begitu banyak bentuk rangsangan yang merosakkan kekhusyukan ibadah kita. Bahkan hanya dengan memiliki sebuah telefon bimbit, sekian banyak 'SMS' yang masuk menawarkan aksi-aksi panas.
Serangan-serangan yang sedang kita hadapi ini bukanlah sesuatu yang biasa dan sangat menyesakkan dada. Setiap hari kita berhadapan dengannya tanpa diminta. Kita merasakan selamat kerana kita telah sebati di dalamnya. Boleh jadi juga kita sebenarnya telah kalah dan mungkin telah menjadi agen dalaman yang menyerang orang lain.
Kita sebenarnya tidak selamat jika kita hanya bertahan daripada satu sudut. Kita memerlukan sistem pertahanan yang memelihara kita daripada segenap sudut. Kita mesti menahan seluruh anggota yang mungkin diserang oleh musuh termasuk hati. Ya, sekalipun jasad kita selamat daripada benar-benar tewas, hati kita mungkin diserang penyakit yang sukar diubati.
Lebih teruk lagi jika kita gagal menyedari bahawa serangan-serangan itu wujud. Bahkan bertambah malang jika kita sudah tidak mahu bertahan lagi dan asyik dengan hidangan-hidangan yang dipaparkan kepada kita. Suatu hari, kita pasti hancur bersamanya.
Ghazwul fikri (serangan pemikiran) yang kita hadapi ini perlu ditentang dan dilawan secara berterusan. Walaupun kita belum mampu membina sebuah gelombang atau sistem yang boleh menghancurkan serangan sedia ada, bertahanlah daripada serangan dalam diri masing-masing.
"Aku sudah cukup kuat, aku pasti selamat."
" Bagaimana dengan ibu dan ayah kita? Adik-beradik kita, anak dan isteri kita nanti? Adakah kita ingin selamat seorang diri sedangkan Al-Quran memerintahkan untuk kita menjaga diri dan ahli keluarga kita daripada api neraka? "
Binalah kekuatan dalaman dengan bersungguh-sungguh dan dengan penuh kesedaran bahawa kita tidak akan selamat jika kita tidak bersedia untuk sebarang kemungkinan.
" Boleh jadi hari ini kita dapat mengelak, namun esok engkau kita terkandas jua."
Kekuatan iman dan takwa perlu digilap dan ditingkatkan supaya kita boleh bertahan dengan semua bentuk serangan. Kuncinya, bersabarlah kerana memang tak mudah.
" Sedarlah bahawa kita ibarat hidangan di mata musuh kita, bila-bila masa kita akan diterkam dan dimusnahkan jika kita tidak berjaga-jaga. Ya, musuh yang boleh muncul daripada mana-mana sudut dalam apa jua keadaan. Bersedialah. "


CREDITS-ILUVISLAM