Rabu, 25 Mei 2011

Berubah Untuk Menggapai Redho Allah.

Alhamdulillah atas nikmat-Mu ya Allah, kurniaan yang melimpah ini kadangkala membuatkan aku terlupa untuk mensyukuri nikmat-Mu.
Dalam kesibukan mengejar dunia ini, pernahkah kita terfikir untuk memperbaiki diri? Adakah cukup amalan kita?
Bagaimana dengan perhitungan di akhirat yang pasti terjadi? Bersediakah kita?
Mungkin kita biasa mendengar perkataan muhasabah, terutama apabila kita berada di akhir sesuatu program, kita diajak untuk bermuhasabah.
Namun, sejauh mana penghayatan kita terhadap maksud muhasabah tersebut? Muhasabah.
Berasal dari perkataan hisab, iaitu menghitung. Mengapa kita perlu menghitung amalan kita? Firman Allah dalam Surah Al-Hasyr (59:18):
18. Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan), bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan.
Jelas daripada ayat ini kita memang dituntut untuk menghitung amalan kita.
Andai dalam kehidupan harian kita sibuk merancang dan menghitung budget dan merancang untuk pelbagai perkara, mengapa pula kita terlupa untuk menghitung bekal amalan di akhirat kelak?
Dalam ayat seterusnya (59:19) Allah memberi peringatan untuk kita tidak melupakan perintah-perintahNya.
19. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik (derhaka).
Perkaitan antara kedua-dua ayat ini menunjukkan bahawa kita menghitung diri adalah dengan mengikuti perintah Allah.
Islam sebagai agama petunjuk kepada penganutnya.
Ia bukan hanya teori tapi praktikal untuk setiap urusan manusia. Yang membezakan seorang muslim dan mukmin adalah pada amalannya. Sepertimana Allah menekankan dalam ayat seterusnya (59:20):
20. Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat Segala Yang diingini).
Memang berbeza antara dua golongan ini. Ibarat langit dan bumi. Jurangnya sangat ketara antara penghuni syurga dan neraka. Salah satunya dalam rahmat dan satu lagi dalam kelaknatan.
Jadi timbanglah dengan neraca iman, ke mana lebihnya kita? Ke jalan redha atau kebencian Allah?
Jadi di sini saya ingin berkongsi beberapa cara untuk bermuhasabah, semoga dapat memberi manfaat.
01.Mengingati mati. Ini cara terbaik untuk bermuhasabah. Mengingatkan diri tentang kematian yang pasti terjadi membantu kita mengkoreksi diri. Secara tidak langsung menjadi pendorong untuk kita menambah amal kebaikan.
02.Mengingati kelemahan diri. Dengan kita menilai kelemahan diri kita secara tidak langsung membantu dalam memperbaiki kelemahan diri. Cara lain ialah dengan menukar kelemahan itu menjadi kekuatan. Sebagai contoh kita cuba kurangkan sifat suka berkata perkara-perkara lagha dengan berzikir, mungkin nampak jauh sangat perbezaannya, namun andai cuba diamalkan, InsyaAllah akan jadi kekuatan akhirnya.
03.Tidak membesarkan kekurangan orang lain. Janganlah dibesar-besarkan kekurangan orang lain kerana hakikatnya Allah menutup-nutup kekurangan kita. Andai kita menutup kelemahan orang lain, Allah akan melindungkan kelemahan kita.
04.Menjadikan kebaikan orang sebagai kayu ukur untuk kita. Dalam hal amalan kebaikan, amatlah wajar untuk kita meniru orang lain. Jadikan ia sebagai penanda aras untuk kita dan letakkan sasaran untuk menjadi yang lebih baik dari orang lain.
05.Menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan utama. Sangat jelas bahawa Nabi junjungan mulia contoh terbaik buat kita. Mulakan dengan mengamalkan perkara-perkara yang menjadi sunnah baginda.
06.Berdoa sebanyak-banyaknya agar Allah mudahkan kita untuk berubah dan memperbaiki diri. Allah yang memegang hati kita dan Dia jugalah mampu membuka hati kita untuk suka kepada kebaikan dan membenci kejahatan. Hidayah itu milik-Nya jua.
Sahabat-sahabatku, marilah kita sama-sama bergerak dan bertindak ke arah perubahan yang InsyaAllah mengundang redha Allah, biiznillah.
Doakan moga kita berjaya bermujahadah ke arah kebaikan dan kekal istiqamah dalam beramal..ameen. Wallahualam...

Ancaman Daripada Segenap Sudut


 Jika musuh kita menyerang daripada segenap sudut yang ada, adakah kita akan selamat dengan bertahan hanya pada satu sudut? "
" Jika mata kita selamat daripada melihat aurat belum tentu telinga kita selamat daripada mendengar orang mengumpat. "
" Jika tangan kita bebas daripada mencuri, belum tentu kaki kita terhindar daripada melangkah ke tempat maksiat."
" Jika mulut kita bersih daripada yang haram, belum tentu kemaluan kita terhindar daripada dosa dan rangsangan. "

Musuh itu pasti menyerang daripada segenap sudut dan melalui segala kemungkinan yang ada. Musuh itu berupakan nafsu yang ada di dalam dirimu atau godaan daripada luar.
Dalam dunia yang sedang kita jalani sekarang, serangan itu semakin menjadi-jadi. Semua perkara dan alat yang kita gunakan di dalam kehidupan seharian akan diaplikasikan oleh musuh-musuh kita untuk melemahkan dan menghancurkan kita.
Hanya dengan melayari internet, kita terus terdedah kepada serangan tersebut sekalipun kita tidak berniat untuk melakukan kemungkaran. Apabila memandu melalui jalan-jalan di kota, kita terus dapat melihat serangan itu terpapar besar di papan-papan iklan. Wanita-wanita mendedahkan bahagian tubuhnya yang merangsang pemikiran lelaki.
Hanya dengan berjalan di sebuah pasaraya untuk memberi barangan keperluan, kita akan terlihat begitu banyak bentuk rangsangan yang merosakkan kekhusyukan ibadah kita. Bahkan hanya dengan memiliki sebuah telefon bimbit, sekian banyak 'SMS' yang masuk menawarkan aksi-aksi panas.
Serangan-serangan yang sedang kita hadapi ini bukanlah sesuatu yang biasa dan sangat menyesakkan dada. Setiap hari kita berhadapan dengannya tanpa diminta. Kita merasakan selamat kerana kita telah sebati di dalamnya. Boleh jadi juga kita sebenarnya telah kalah dan mungkin telah menjadi agen dalaman yang menyerang orang lain.
Kita sebenarnya tidak selamat jika kita hanya bertahan daripada satu sudut. Kita memerlukan sistem pertahanan yang memelihara kita daripada segenap sudut. Kita mesti menahan seluruh anggota yang mungkin diserang oleh musuh termasuk hati. Ya, sekalipun jasad kita selamat daripada benar-benar tewas, hati kita mungkin diserang penyakit yang sukar diubati.
Lebih teruk lagi jika kita gagal menyedari bahawa serangan-serangan itu wujud. Bahkan bertambah malang jika kita sudah tidak mahu bertahan lagi dan asyik dengan hidangan-hidangan yang dipaparkan kepada kita. Suatu hari, kita pasti hancur bersamanya.
Ghazwul fikri (serangan pemikiran) yang kita hadapi ini perlu ditentang dan dilawan secara berterusan. Walaupun kita belum mampu membina sebuah gelombang atau sistem yang boleh menghancurkan serangan sedia ada, bertahanlah daripada serangan dalam diri masing-masing.
"Aku sudah cukup kuat, aku pasti selamat."
" Bagaimana dengan ibu dan ayah kita? Adik-beradik kita, anak dan isteri kita nanti? Adakah kita ingin selamat seorang diri sedangkan Al-Quran memerintahkan untuk kita menjaga diri dan ahli keluarga kita daripada api neraka? "
Binalah kekuatan dalaman dengan bersungguh-sungguh dan dengan penuh kesedaran bahawa kita tidak akan selamat jika kita tidak bersedia untuk sebarang kemungkinan.
" Boleh jadi hari ini kita dapat mengelak, namun esok engkau kita terkandas jua."
Kekuatan iman dan takwa perlu digilap dan ditingkatkan supaya kita boleh bertahan dengan semua bentuk serangan. Kuncinya, bersabarlah kerana memang tak mudah.
" Sedarlah bahawa kita ibarat hidangan di mata musuh kita, bila-bila masa kita akan diterkam dan dimusnahkan jika kita tidak berjaga-jaga. Ya, musuh yang boleh muncul daripada mana-mana sudut dalam apa jua keadaan. Bersedialah. "


CREDITS-ILUVISLAM